Terima kasih kakitangan Hospital Selayang.

Isteri saya, alhamdulillah, telah melahirkan anak perempuan kami di Hospital Selayang pada 1 Jun 2016, jam 12.34 tengahari.

Kami sangat berpuas hati dengan layanan doktor, jururawat, kerani di kaunter hatta pengawal keselamatan.

Pada asalnya isteri saya dijangka akan melahirkan anak secara normal. Bahkan sehari sebelum hari kelahiran, iaitu pada 30 Mei, kami menjalani pemeriksaaan rutin di Hospital Selayang dan doktor memaklumkan kelahiran normal kerana kepala anak sudah di bawah, uri pun sudah jauh daripada salur keluar. (Ia sesuatu yang melegakan kami kerana sebelum ini uri sangat hampir dengan pintu keluar, dan kepala bayi di atas).

Akan tetapi pada pagi 1 Jun 2016, pada waktu Subuh, air ketuban mulai pecah. Jam 7.30 kami tiba di hospital, dan sudah ramai ibu bersalin lain di sana.

Kami ke kaunter untuk pendaftaran. Kami memohon untuk doktor perempuan. Kerani di kaunter memaklumkan, Insya-Allah, cuma ia bergantung kepada ‘availability’ doktor. Saya dan isteri bersetuju. Kerani tersebut memberikan penjelasan dengan penuh sopan. Tidak ada riak marah, kurang selesa dan sebagainya.

Selesai diperiksa, isteri memaklumkan saya bahawa anak sudah buang air besar dalam perut. Bahaya lahir normal. Doktor mahu memeriksa detil lagi untuk memastikan perlukah pembedahan atau masih boleh kelahiran normal.

Saya dipanggil masuk ke bilik bersalin untuk menemani isteri. Beberapa orang doktor masuk, mereka memeriksa. Kemudian keputusan agar segera dilakukan pembedahan kerana tiada pilihan lain. Jika tidak ditakuti kesan buruk kerana bayi masih lagi buang air dalam perut.

Jururawat mengajak saya masuk hingga ke pintu utama bilik pembedahan. Kemudian mereka meminta saya bersalaman dengan isteri sebelum isteri di bawa masuk ke bilik pembedahan. Isteri saya masuk ke bilik pembedahan pada jam 12.00 tengahari. 12.34 alhamdulillah sudah melahirkan anak, dan saya diberitahu pada jam 1.00 tengahari.

Ketika itu, saya melihat bahawa katil di wad sudah penuh. Sehingga jam 3.00, isteri masih belum keluar daripada bilik pembedahan. Saya risau sesuatu buruk berlaku, dan saya juga risau jika isteri sudah dihantar ke wad ketika saya pergi menunaikan solat Zuhur. Dua kali saya bertanya di kaunter. Jururawat yang ada menjawab dengan baik, dan memaklumkan bahawa isteri saya dalam keadaan elok, cuma masih dalam bilik pembedahan untuk doktor memantau keadaan isteri saya. Tambahan pula, mereka menunggu katil di wad dikosongkan oleh pesakit yang akan keluar. Jururawat menerangkan situasi ini kepada saya dengan elok dan sangat baik. Tidak ada riak tidak selesa di wajahnya walau saya sendiri risau sebab dah dua kali saya pergi ke kaunter tanya soalan yang sama.

Ketika di wad, jururawat sangat banyak membantu isteri saya. Ada satu ketika anak saya menangis pada jam 1.45 pagi hingga 3.00 pagi. Seorang jururawat datang membantu, dia mengambil anak saya, dan menjaga anak saya.

Jururawat di wad juga sangat baik komunikasinya. Setiap soalan saya dijawab dengan baik. Apabila saya memohon surat pengesahan masuk wad sebab mahu dihantar ke universiti tempat isteri saya belajar (kerana tarikh kelahiran tersebut adalah tarikh peperiksaan isteri saya), mereka segera menyiapkan surat itu.

Pengawal keselamatan juga sangat tegas tetapi masih sopan. Saya meminta izin untuk masuk ke wad pada jam 8.30 malam untuk membawa pulang uri yang saya tertinggal, dan dia mengizinkan dengan syarat saya segera keluar. Begitu juga, pernah jam sudah 7.15 malam, waktu melawat sudah tamat. Pengawal keselamatan datang ke katil isteri saya untuk menyuruh saya pulang. Tetapi ketika itu isteri saya sedang menyusukan anak, dan saya sedang menyuapkan makanan kepada isteri saya. Pengawal keselamatan tersebut memberikan saya ruang masa.

Terima kasih, terima kasih. Semoga Allah merahmati kalian semua.

Pengalaman saya ini adalah kisah benar yang ingin saya kongsikan dengan semua.
Apapun saya mengingatkan diri saya dan masyarakat, jangan mengambil kesempatan di atas kebaikan dan sikap tolak ansur staff hospital. Jika sudah tamat masa melawat, pulanglah kecuali memang terpaksa lewat sedikit. Bercakaplah dengan nada yang baik dengan kerani, jururawat, doktor, pengawal keselamatan. Kebaikan itu tidak datang daripada satu arah. Komunikasi yang baik terjalin apabila kita semua melakukannya dengan baik.

~~~~~~~~~~~~~~~~
JANGAN TIPU HOSPITAL.

Ketika di hospital Selayang, saya nampak kekecohan di kaunter antara petugas hospital dan keluarga wanita yang akan bersalin.

Saya tidak tahu apa yang berlaku cuma dengar kata-kata petugas hospital kepada waris ‘Kami tidak mahu masuk campur apa yang berlaku. Tetapi jika tuan menipu, risikonya sangat besar kepada anak tuan nanti jika berlaku apa-apa kerana maklumat salah yang tuan berikan’.

Selepas didesak dan didesak akhirnya waris mengaku mereka menipu.

Kemudian petugas hospital pun memanggil waris wanita itu yang merupakan bapa mertua si ibu yang sedang menunggu masa untuk melahirkan anak.

Saya tidak tahu apa yang berlaku, dan apa yang ditipu. Cuma nasihat saya kepada rakan-rakan, jangan cuba menipu ketika di hospital, takut penipuan kita bukan sekadar berdosa bahkan beri kesan buruk kepada kita, keluarga kita atau orang lain.

Di kaunter jua nampak ketegasan petugas hospital memastikan tidak berlaku penipuan.

Bila ibu yang bersalin serahkan buku merah itu.

Petugas akan bertanya:

Alamat rumah?
Si ibu atau pasangan mungkin akan jawab: Sama macam dekat buku.

Petugas akan desak juga sebut hingga pasangan itu sebut nama kampung pada alamat itu, nombor rumah ke.

Kemudian petugas hospital tanya lagi:
No. telefon pasangan?
Jika dijawab sama seperti di atas buku merah itu.
Mereka akan desak sebut nombor telefon itu.

Mendengarnya, saya macam pelik, kan mudah kalau catat sahaja apa yang ada atas buku merah itu jika sudah pesakit kata begitu.

Tetapi boleh jadi untuk elakkan kes menipu, curi buku rekod klinik orang lain etc. Semua ini untuk kebaikan pesakit.

Pengalaman anak kedua

Anak kedua saya dilahirkan pada 22 Januari 2019. Ia merupakan satu pengalaman yang berbeza. Ramai orang sering menyatakan (atau menakut-nakutkan) bahawa jika anak pertama dilahirkan secara pembedahan, maka kelahiran seterusnya doktor akan paksa untuk dibedah.
Mereka jua mendakwa doktor akan paksa anak keluar cepat.

Anak kedua saya, kami ke hospital pada waktu pagi kerana isteri sudah rasa sakit yang teramat sangat. Lalu kami buat seperti biasa, daftar masuk, dan diperiksa. Ketika itu saya lihat sangat ramai ibu-ibu yang sedang menunggu masa untuk lahirkan anak.

Lepas Zuhur, isteri saya pun keluar, lalu memaklumkan belum lagi sebab bukaan belum besar. Maka kami menunggu sehingga petang. Isteri saya pergi berehat di surau kerana wad masih penuh. Di surau seorang jururawat lihat isteri saya dan bertanya: “Kenapa, sudah tidak tahan ke?”. Kemudian nurse itu cadangkan masuk dalam balik untuk diperiksa sebab mungkin bukaan sudah besar.

Kemudian, isteri saya masukkan dalam bilik kelahiran, hanya menanti saat untuk lahirkan anak. Saya pun dipanggil masuk. Kerap kali jururawat, doktor yang berbeza, datang memeriksa.

Seorang doktor pakar datang memeriksa dan melihat sejarah kelahiran anak yang pertama. Dia memberitahu bahawa biasanya memang jika anak sebelum ini pembedahan, maka seterusnya begitu, tetapi bergantung kepada keadaan. Jika situasi si ibu mengizinkan, boleh sahaja kelahiran normal. Kemudian doktor pakar menerangkan tentang risiko kelahiran secara pembedahan, dan kelahiran secara normal.

Maka doktor terus memeriksa isteri saya. Lalu dia menyatakan, keadaan isteri saya boleh jika nak pilih untuk normal. Lalu isteri saya menyatakan mahu lahir normal.

Pendek cerita, akhirnya pada jam 11.30 malam, isteri saya melahirkan anak kedua kami secara normal. Seorang doktor Melayu, seorang doktor Cina, seorang doktor India, seorang doktor Sikh. Najla’ Zinnirah disambut doktor pelbagai kaum, warna kulit, dan agama.

Ia satu pengalaman yang sangat bahagia untuk saya. Saat itu, media sosial khususnya atau negara kita amnya sedang dilanda racun api perkauman dan kebencian. Akan tetapi anak saya disambut oleh doktor pelbagai agama dan kaum.

Semoga ia satu kenangan yang mengajar saya agar anak saya ini menjadi manusia yang akan menghargai kepelbagaian manusia.

2 kenangan berbeza di Hospital Selayang ini merupakan kemanisan yang mengajar pelbagai benda kepada saya.

Dengan kenangan inilah saya mengajak semua untuk menjauhi homebirth, dan lahirkanlah anak di hospital.